Anda Hampir Atau Sudah Berjaya?

Anda Hampir Atau Sudah Berjaya Mencapai Kejayaan

Ramai yang masih menganggap diri sebagai gagal kerana masih belum mencapai status seorang jutawan. Sedangkan mereka tidak nampak perkara-perkara kecil yang berubah di dalam diri yang menjadi bukti mereka hampir mencapai kejayaan hidup.

Jangan meletakkan diri di tahap kegagalan kerana ia akan memberi kesan negatif terhadap pencapaian diri. Sentiasa berpandangan optimistik dengan mencari dan menilai perubahan diri yang bersifat positif kerana ia akan menjadi inspirasi buat diri anda.

Di sini terdapat 12 tanda-tanda kejayaan yang boleh digunakan sebagai panduan bagi mengenal pasti perubahan positif yang terjadi di dalam diri anda. Perubahan ini merupakan tanda-tanda anda hampir atau sudah berjaya mencapai kejayaan hidup.

1. Anda Menaikkan Taraf Hidup

Dahulu: Anda suka membuang masa membuat perkara-perkara yang tidak memberi apa-apa faedah terhadap diri anda dan orang lain.

Sekarang: Anda menghargai setiap detik saat dengan memenuhkannya dengan pelbagai aktiviti yang berilmu dan bermanfaat. Anda tidak lagi bertoleransi dengan sifat-sifat negatif yang berpunca dari diri dan orang sekeliling anda.

2. Tidak Lagi Mengeluh

Dahulu: Menjadi kebiasaan bila kita ditimpa musibah kita akan mula mengeluh, mengadu malah menunding jari terhadap orang lain akibat musibah ini terjadi.

Sekarang: Anda tidak lagi mengeluh kerana anda tahu semua yang terjadi di dalam hidup sama ada perkara baik atau buruk, ia mempunyai hikmah disebaliknya.

3. Bersyukur Setiap Perkara

Dahulu: Setiap kejayaan yang dimiliki, anda akan menganggap ianya 100% dari usaha anda sendiri tanpa bantuan dari yang lain. Anda jarang sekali mengucap terima kasih kepada orang yang telah membantu anda, tidak menghargai nikmat-nikmat hidup yang dipinjamkan oleh Allah swt.

Sekarang: Mulut anda tidak berhenti mengucapkan terima kasih terhadap orang lain yang membantu anda, tidak kira bantuan itu sekecil manapun. Anda akan menghulurkan bantuan terlebih dahulu sebelum orang lain. Anda mula mendekati diri dengan Allah swt, bersyukur dengan setiap nikmat yang diberi seperti bersyukur dengan nafas yang masih menghembus, tubuh badan yang sihat membantu mencari rezeki setiap hari, minda yang cergas membantu mengenal baik dan buruk setiap perkara dan lain-lain kesyukuran lagi.

4. Anda Raikan Kejayaan Orang Lain

Dahulu: Anda hanya raikan kejayaan yang dicapai oleh diri sendiri. Jika ada orang lain yang berjaya, anda tidak akan raikannya malah anda akan berasa cemburu terhadap kejayaan tersebut. Anda berasa bahawa anda sahaja yang layak mencapai kejayaan hidup.

Sekarang: Tidak perlu dipaksa lagi, anda sendiri akan mencari orang berjaya itu dan ucapkan tahniah kepadanya. Anda berasa gembira dengan kejayaan orang lain dan kejayaan itu dijadikan salah satu inspirasi buat diri anda.

5. Tidak Takut Meminta Pertolongan

Dahulu: Anda menganggap meminta pertolongan dari orang lain merupakan sesuatu perbuatan yang lemah dan memalukan. Anda lebih suka bekerja secara bersendirian dari bekerja bersama orang lain.

Sekarang: Jika anda tidak tahu tentang sesuatu perkara, anda akan mencari orang yang mempunyai ilmu terhadapnya dan meminta orang tersebut untuk mengajarnya kepada anda. Anda lebih suka bekerja secara berpasukan kerana ia membuat kerja menjadi mudah dan cepat disiapkan. Anda tidak lagi segan meminta pertolongan dari orang lain kerana anda tahu bahawa anda bukanlah seorang yang “Super Serba Tahu”.

6. Anda Raikan Kegagalan

Dahulu: Jika anda gagal melakukan sesuatu perkara, anda akan angkat kaki cabut lari dan terus masuk gua. Anda akan mengenangkan kegagalan itu sehingga ia menjadi mimpi di malam hari. Anda tidak akan meneruskan perjalanan jika kegagalan menimpa diri anda.

Sekarang: Anda tahu bahawa bukan semua orang berjaya 100% setiap masa. Berjaya dan gagal telah menjadi lumrah kehidupan. Jika anda tidak berjaya sekali, anda akan cuba kali kedua. Jika tidak berjaya lagi, anda akan cuba kali ketiga. Jika masih tidak berjaya lagi, anda akan masih teruskan untuk cuba kali keempat dan cuba dan cuba dan cuba lagi sehingga ianya berjaya. Anda akan raikan kegagalan dan gunakan ia sebagai pengajaran hidup. Ini kerana anda mengetahui satu rahsia iaitu kegagalan hanyalah bersifat sementara dan ia merupakan salah satu proses kejayaan bagi mencapai kejayaan yang sebenar.

7. Bermatlamat Besar

Dahulu: Anda tidak kisah tentang perjalanan hidup akan datang. Anda hanya memikirkan kehidupan hari ini dan esok sahaja. Anda juga lebih selesa dengan keadaan sekarang (zon selesa) dan tidak berminat untuk menaik taraf kehidupan diri.

Sekarang: Tidak takut bermatlamat besar. Sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki dan menaik taraf diri. Lebih suka mencuba sesuatu yang baru jika ia dapat memberi manfaat kepada diri dan orang lain. Mengejar matlamat yang ditetapkan tidak kira betapa besar cabaran yang akan ditempuh.

8. Pernah Mempunyai Matlamat Yang Menjadi Realiti Hidup

Dahulu: Akibat tidak mempunyai matlamat, maka tiada matlamat hidup yang ingin dicapai.

Sekarang: Salah satu matlamat yang diidamkan telah tercapai menjadi realiti hidup. Tidak kira matlamat itu sekecil manapun ia tetap dipanggil matlamat. Orang berjaya tidak pernah mengira saiz matlamat, yang dikira adalah ia boleh tercapai ataupun tidak.

9. Di Kelilingi Kawan Berjaya

Dahulu: Sering berkawan dengan kawan yang bersifat negatif, kawan yang sering menjatuhkan semangat anda. Kawan yang tidak berminat untuk berjaya di dalam hidup.

Sekarang: Mempunyai kawan-kawan yang saling membantu. Kawan yang memberi inspirasi kepada anda walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Kawan yang suka mencipta kejayaan tanpa henti dan berkongsi kegembiraan kejayaan tersebut bersama anda.

10. Mempunyai Sebab Yang Kukuh Untuk Berjaya

Dahulu: Segala kejayaan adalah untuk diri sendiri. Tidak mempunyai sebab untuk berkongsi dengan orang lain. Tidak memikirkan kejayaan untuk orang lain.

Sekarang: Kadang-kala kejayaan yang paling kukuh dan bermakna adalah mencipta kejayaan bagi menggembirakan orang lain. Anda mempunyai sebab yang kukuh untuk berjaya, sebagai contoh, anda ingin berjaya bagi menggembirakan hati ibu dengan menunaikan segala impian beliau.

11. Suka Memberi

Dahulu: Anda sangat susah untuk berkongsi kemewahan dan kelebihan diri yang ada bersama orang lain. Anda berpendapat bahawa segala yang dimiliki adalah kepunyaan sendiri. Jika orang lain inginkan, sila cari sendiri.

Sekarang: Memberi bukan bermakna kita menderma wang dan harta sahaja. Memberi ini lebih kepada perkongsian apa yang dimiliki oleh anda yang tidak dimiliki oleh orang lain. Sebagai contoh, anda memberi perkongsian ilmu secara percuma kepada yang berminat, memberi bantuan dari segi tenaga empat kerat kepada yang memerlukan, menyediakan makanan percuma kepada yang tidak mampu di restoran anda dan banyak lagi perkongsian yang boleh dibuat.

12. Anda Gembira

Dahulu: Suka memikirkan masalah serta perkara-perkara negatif yang membuatkan hidup anda murung diseliputi kegelapan.

Sekarang: Anda lebih suka membuatkan diri di kelilingi dengan aura-aura positif yang dapat menggembirakan hati. Jika terdapat cabaran menimpa, anda akan laluinya dengan hati yang tenang dan penuh kesabaran. Bila hidup penuh dengan kegembiraan, segala kerja yang ingin dilakukan akan menjadi mudah diselesaikan. Kegembiraan merupakan kunci kepada hidup berjaya.

Kesan Penyusuan Ibu kepada Perkembangan Mulut & Muka Bayi

Kesan Penyusuan Ibu kepada Perkembangan Mulut & Muka Bayi – Dr. Marini Ismail


Sumber: www.babypost.com

Susu ibu telah terbukti dapat memberikan banyak maslahat kepada bayi yang baru lahir termasuklah dari segi bekalan nutrisi dan kesihatan bayi. Namun begitu, tahukah anda bahawa kaedah penyusuan samada menerusi payudara atau botol sebenarnya memberikan impak yang berbeza kepada bayi dari segi perkembangan muka dan rahang serta susunan gigi dalam jangka masa yang panjang?

Sebenarnya teknik bayi menghisap susu melalui payudara memerlukan kemahiran otot yang berbeza berbanding dengan penyusuan melalui botol.

Apabila bayi menyusu badan, lidah dan rahangnya perlu bergerak seiring. Lidah bayi perlu berada di bawah areola iaitu kawasan berpigmen (coklat) di sekeliling puting payudara dan menekannya ke lelangit. Keadaan itu menyebabkan tisu di bahagian berkenaan mengalami tekanan dan memanjang mengikut corak hisapan penyusuan bayi terbabit. Pada masa yang sama, bayi perlu berusaha untuk mengeluarkan susu dan dengan demikian, otot muka bayi terpaksa bekerja keras untuk mengulangi proses hisapan dengan kuat. Keadaan lelangit keras (hard palate) semasa dewasa berbeza dengan semasa bayi. Lelangit bayi masih lembut dan mudah berubah bentuk selari dengan tekanan yang dikenakan ke atasnya. Semasa proses hisapan, pergerakan otot muka bayi dan kedudukan puting payudara yang ditekan ke lelangit akan membantu dalam perkembangan lelangit yang rata, lebar dan berbentuk ‘U’.

Oleh yang demikian, penyusuan susu ibu melalui payudara memberikan kesan positif terhadap pembentukan rahang dan otot muka, iaitu dengan penggunaan otot dan tulang secara sinergistik yang seterusnya menghasilkan rahang yang berkembang dengan cantik dan simetri. Apabila rahang berkembang dengan baik, gigi susu juga akan tumbuh dengan teratur dan tersusun rapi. Manakala wajah dan struktur muka bayi akan kelihatan lebih terbentuk dengan baik mengikut perkembangan umur.

Keadaan ini berbeza apabila bayi menghisap susu melalui botol. Sekiranya anda memegang botol susu dalam keadaan yang terbalik, susu mudah sahaja terpancut keluar dengan laju. Oleh yang demikian, semasa bayi menghisap susu menerusi botol, dia hanya akan mengangkat lidahnya untuk menahan aliran susu yang laju dari botol untuk mengelakkannya dari tersedak atau tercekik sahaja.

Sepanjang proses menyusu, bayi hanya perlu menekan puting getah yang keras tanpa menggunakan rahangnya untuk menghisap susu. Penggunaan otot muka dan rahang yang sedikit dan tanpa usaha gigih semasa menghisap susu melalui puting getah boleh membantutkan perkembangan rahang dan otot muka yang optimum, seterusnya lelangit tidak dapat berkembang dengan baik.

Kesan penggunaan jangka lama botol susu dan puting pada gigi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun akan menyebabkan proses pertuturan mereka lambat berkembang.

Disamping itu, bayi yang menyusu melalui botol juga mudah terdedah kepada masalah tabiat menghisap jari yang berlarutan sehingga berumur 5 tahun dan ke atas. Tabiat menghisap jari yang berpanjangan boleh menyebabkan gigitan gigi depan terbuka dan menghasilkan lelangit yang sempit dan berbentuk ‘V’. (Rujuk:http://www.mmgazette.com/is-your-child-a-thumb-sucker-dr-husna-razak/)

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan American Academy of Pediatrics (AAP) menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif bagi bayi sepanjang 6 bulan pertama kelahirannya. WHO juga seterusnya menyarankan tempoh menyusukan bayi ditambah sehingga bayi berumur dua tahun atau lebih.

Kesimpulannya, penyusuan susu ibu bukan sahaja penting dalam memberi manfaat kesihatan kepada bayi malah dapat membantu membentuk rahang muka dan susunan gigi yang rapi serta menjimatkan kos rawatan pergigian dan ortodontik dikemudian hari.

Sekiranya anda mempunyai masalah berkaitan dengan penyusuan susu ibu, segeralah dapatkan khidmat nasihat dari pakar.

Penghargaan khusus kepada Dr. Aida Nur Ashikin Abd.Rahman, Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Pergigian UiTM Shah Alam dan Associate Prof. Dr. Siti Adibah Othman, Pakar Ortodontik & Pensyarah di Fakulti Pergigian Univ. Malaya di atas nasihat dan sokongan terhadap artikel yang diterbitkan.

Dr. Marini adalah seorang pegawai pergigian yang berkhidmat di Selangor.

Rujukan:

http://adc.bmj.com/content/89/12/1121.fullhttp://www.brianpalmerdds.com/bfeed_oralcavity.htmhttp://www.jisppd.com/article.asp?issn=0970-4388;year=2008;volume=26;issue=3;spage=102;epage=106;aulast=Moimazhttp://www.pittsfordpediatricdentistry.com/BreastFeeding.pdf http://www.jped.com.br/conteudo/03-79-01-07/ing.asp

Wanita Solehah Zaman Dahulu dan Sekarang

Wanita solehah zaman dulu, duduk di rumah menanti suami pulang dari pekerjaan dan dari medan perang.. Setia menanti dengan kejujuran dan sumpah setia..

Wanita solehah zaman sekarang, sama naik keluar bekerja demi membantu suami.. Gigih berusaha demi membantu suami memperbaiki ekonomi keluarga.. Namun kesetiaan dan kepercayaan yang diberi oleh suami kekal jadi pegangan sampai bila2..

Wanita solehah zaman dulu, belajar agama daripada suami.. Daripada guru agama yang dicari suami.. 

Wanita solehah zaman sekarang, bijak mencari ilmu akhirat sendiri.. Tak perlu tunggu suami.. Gunakan segala peluang di sekeliling mata.. Asalkan suami redha dan restu..

Wanita solehah zaman dahulu, duduk di rumah menjaga zuriat sendiri.. Kerana inginkan cahaya mata membesar sempurna depan mata..

Wanita solehah zaman sekarang, duduk di rumah menjaga zuriat sendiri.. Bezanya bijak menjana pendapatan keluarga walaupun dari rumah sahaja..

Wanita solehah zaman sekarang mungkin lebih MAJU, lebih HEBAT dan lebih BERDIKARI.. Namun solehahnya beliau, bila mana sehebat mana pun beliau, tetap menjadikan suami yang pertama untuk dihormati.. 

Dan saya pilih untuk jadi wanita solehah zaman sekarang.. Yang masih ingin mengejar mimpi.. Tapi dalam masa yang sama berusaha merebut redha ilahi.. Yang hadir bersama dengan restu suami dan kedua ibu bapa.. InshaAllah